Kamis, 30 Oktober 2014

Bertahun kita merasakanya, tetapi benarkah itu cinta?

Ada kalanya, begitu sukar untuk melakarkan tinta mengenai cinta. Semakin direnungi, dirasai dan dialami – sebenarnya, cinta itu sendiri masih kabur dalam pemahaman kita sendiri jika ia tidak disuluh dengan suluhan yang benar.

Justeru, cinta harus dilihat, diamati, difahami dan digerak melalui sudut pandangan Sang Maha Pencinta itu sendiri. Cinta yang akan menerangi, memberikan suntikan harapan dan menguatkan keteguhan jiwa.

C i n t a – rahasia jiwa

Jiwa dan hati kita banyak menyimpankan rahsia. Rahsia yang sukar untuk diungkapkan, dituturkan dan dibicarakan. Namun, perkongsian jiwa ini dilabuhkan buat perkongsian bersama kerana cinta inilah yang menyimbahkan sanubari sejak sekian lamanya.

Jauh di kolam hati, merenungi ayat-ayat cinta-Nya dengan khusyuk, tawaduk dan penuh teliti. Ternyata, setiap hembusan nafas yang melantunkan ayatnya : menembusi sehingga ke pangkal hati. Ia mengalir laju ke setiap saluran dan sudut nadi sehingga menggetarkan jiwa-jiwa hamba Ilahi. MasyaAllah.

Kasih sayang itu akar hati,

Daya terkuat nadi.”

Kasih sayang itu ia mengakar dihati dalam payungan rahmat dan maghrifah Allah SWT. Ia menghujam ke dasar hati, mencengkam kuat sehingga terpaut erat dengan izin Ilahi.

Cinta karena Allah SWT adalah nadi keberhasilan keimanan dan ketaqwaan. Ia lahir daripada kepercayaan, keyakinan, kepasrahan, kepergantungan dan kethiqahan yang luar biasa kepada Allah SWT. Cinta inilah yang akan merangkumi semua sudut bicara cinta yang ada. Cinta yang sebenar-benar cinta.

Cinta Ilahi.

Ia umpama “nur”. Cahaya. Ya – cahaya yang menerangi, bersinar-sinar dan punyai sebuah harapan bagi yang merasai kehangatannya.

Jika kita mendahului cinta Allah SWT – itulah keberhasilan yang akan mengeratkan, mengukuhkan, memperteguhkan, mengikat dan menghubungkan jiwa-jiwa dan hati-hati kita di atas titian cinta yang luar biasa, membahagiakan, mendamaikan, mengasyikan dan menenangkan.

(C i n t a – harus 100 %)

Cinta 100 % kepada Allah

Cinta 100 % untuk Rasullullah

Cinta 100 % terhadap Ibu Ayah

Cinta 100 % buat pasangan dengan penuh mahabbah

Cinta 100 % dalam ukhuwah fillah

Cinta 100 % memayungi ruh ummah

Cinta sebeginilah yang akan memberikan kenikmatan, kelazatan, keindahan, keasyikan dan keberuntungan. Inilah bicara cinta kita.

Ibnu Taimiyah RA pernah berkata, “Sungguh, di dunia ini ada syurga, siapa yang belum memasukinya, ia tidak akan memasuki syurga akhirat.”

• Solat tahajud dua (2) rakaat

• Membaca Al-Quran dengan tadabbur dan berfikir

• Melazimi zikir al-Mathurat setiap pagi dan petang

• Solat dhuha dua (2) rakaat

• Solat fardu secara berjemaah

• Solat fardu di masjid

• Memelihara diri daripada dosa dan maksiat

• Melakukan usaha kebaikan sebanyak mungkin

• Mengukirkan senyuman kepada orang disekeliling

• Menuntut ilmu dengan tekun

• Menghormati yang tua dan menyayangi yang muda

• Melakukan usaha dakwah melalui pelbagai medium

• Ziarah ulama’, dan orang tua

• Berdoa, bermunajat dan berharap mendapat hasanah dunia dan hasanah akhirat

C i n t a – adakah kita merasakanya?

Cerminlah raut wajah, keperibadian dan amalan anda. Bersungguhkah kita selama ini? Adakah kalian sudah berpuas hati dengan apa yang dimiliki sehingga kini? Adakah kita benar-benar berjiwa besar dalam meraih kecintaan terhadap-Nya ?

Wahai diri, goncangkanlah dirimu. Biarkan cinta itu benar-benar berputik di sanubarimu. Cinta yang berbunga-bunga di taman hati. Cinta itu ia kembang mekar, menguntum dan mengharumkan hati kita.

Cinta juga adalah seni. Seni menghidupkan kehidupan. Belajarlah bagaimana untuk mengolah seni ini, kerana ia akan menghubungkan kita untuk ke alam akhirat. Alam yang akan membawa kita bertemu dengan Sang Kekasih yang menumbuhkan cinta di kolam jiwa kita.

Tidak terujakah untuk menyemai cinta sebegini?

“Cinta itu adalah sebahagian gumpalan perasaan dan ia juga adalah kehidupan. Cinta juga menghidupkan kehidupan agar ia benar-benar hidup, subuh, segar dan tegar. Kejarlah cinta, kerana disitulah tempat jiwa kita berlari menuju mahabbah-Nya.”

Mudahan cinta itu menyapa nurani kita.

Agar terasa kehangatan bersama Sang Pencipta.

Untuk kekal bersama – menuju Syurga

Tidak ada komentar:

Posting Komentar